PROGRAM & AKTIVITI

AKTIVITI KEMASYARAKATAN

Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) merupakan satu institusi pentadbiran akar umbi yang diberi pengiktirafan oleh Kerajaan Negeri untuk membantu dalam pentadbiran kampung. Justeru, JKKK memainkan peranan sebagai badan perancang penentuan strategi dan pelaksanaan program atau projek pembangunan di dalam kampung.

Selain itu, JKKK turut menjadi badan penggerak dan berupaya menggembleng tenaga, sumber pembangunan dan mengubah sikap masyarakat di peringkat kampung bagi tujuan mempertingkatkan lagi daya pengeluaran.

Justeru, pelbagai aktiviti telah direncanakan bagi merealisasikan misi sebenar JKKK. Antara aktiviti yang sering diadakan ialah aktiviti kemasyarakatan, keagamaan dan sebagainya. Aktiviti ini antara lain turut bertujuan melahirkan sebuah masyarakat yang proaktif.



AKTIVITI-AKTIVITI SEKAMPUNG

Walau pun Kampung Batu 14 sebuah kampung yang kecil tetapi penduduknya sentiasa bersatu padu dan sentiasa tolong menolong tanpa mengira kaum. Semangat muhibbah yang dipupuk terus dikekalkan sehingga kini.

Penduduk kampung sama-sama menjaga nama baik kampung dengan adanya kumpulan-kumpulan yang menjalankan aktiviti-aktiviti yang mengharumkan nama Kampung Batu 14 Puchong. Beberapa perkumpulan yang menaikkan nama Batu 14 ini seperti Kelab Kabaddi Sri Dewi Puchong dan Kelab Bola Puchong Kids. Kelab Kabaddi telah beberapa kali menjuarai perlawanan di seluruh Selangor manakala Kelab bol;asepak banyak berinteraksi dengan pasukan-pasukan lain. Begitu juga Kumpulan Kompang Remaja Batu 14 dan juga kumpul;an marhaban Usrotul Haniah Puchong. Mereka bukan sahaja dijemput melakukan persembahan di Puchong tetapi di kawasan sekitarnya.

Sebagai sebuah kampung tradisi yang dihimpit oleh pembangunan Kampung Batu 14 Puchong masih boleh berbangga kerana penduduknya masih mengamalkan sikap tolong menolong serta bersatupadu dan bertoleransi antara kaum. Sifat kekeluargaan serta sikap saling hormat-menghormati masih dikekalkan.

Tahap pendidikan penduduk juga telah meningkat dan sehubungan dengan itu taraf ekonomi juga meningkat. Keadaan kehidupan kampung yang harmoni mengakibatkan kurang penghijrahan keluar oleh ahli keluarga.

Walau bagamanapun pembinaan kondominium mewah telah membawa masuk ramai orang luar. Pihak JKKK berusaha sedaya upaya agar kemasukan orang luar ini tidak akan mengubah cara hidup kampung penduduk Batu 14 Puchong ini.